Aimy Membesar

Lilypie Second Birthday tickers

Tuesday, April 27, 2010

INFO: Makanan pertama bayi

INFO: Credit to Berita Harian

Permata Hati: Makanan pertama bayi
Oleh Siti Nur Almizan Aripin



Elak beri sajian pejal sebelum usia lebih enam bulan


SEORANG rakan menceritakan gelagat bayi lelakinya berusia lima bulan yang sering menangis seolah-olah kelaparan. Namun katanya, dia teringat pesan ibunya yang menegahnya menyuap makanan sebarangan kecuali bubur nasi bercampur kentang, itu pun bubur dikisar dan direneh sehingga benar-benar halus selepas bayinya mencapai usia enam bulan.

Tidak bertanya lanjut, rakan penulis hanya berdiam diri tapi sesekali dia memberikan bayinya nestum di luar pengetahuan ibunya.

Selepas beberapa ketika, dia mendapat maklumat daripada portal keibubapaan yang memberitahu bahawa tiada istilah tidak cukup susu atau kelaparan untuk anak kecil berusia kurang enam bulan jika diberikan di dalam sukatan serta masa tertentu, lebih-lebih lagi jika anak itu menyusu badan.

Menurut maklumat itu lagi, susu ibu terutama mengandungi cukup nutrien dan vitamin yang diperlukan seorang bayi tanpa perlu ditambah khasiat daripada sumber lain waima buah-buahan atau sayur-sayuran.

Berdasarkan pembacaannya juga, ada kajian menyatakan bahawa pada ketika bayi berusia enam bulan barulah tubuhnya berkemampuan membina bakteria pelindung yang turut membantu sistem penghadaman memproses makanan pejal.

Kini, barulah dia sedar mengapa orang tua banyak pantang larang. Kesimpulannya, elakkan daripada menyuap bayi anda makanan pejal sebelum usianya melebihi enam bulan bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini kepada si kecil di kemudian hari.
Pada peringkat permulaan mengenalkan bayi dengan makanan pejal, bubur nasi atau makanan yang dikisar halus adalah digalakkan. Kuantiti boleh ditambah sedikit demi sedikit bersesuaian usia si kecil.

Seperti yang penulis perhatikan, setiap kali pulang ke kampung, cucunya yang kecil akan berpeluang menikmati bubur nasi yang dimasak bersama kentang serta lobak merah, kemudian ketika direneh, daging segar yang dibeli Tok Wannya dari pasar tani dipotong halus dan dimasak bersama bubur. Kata ibu mentua, manis daging sebagai penambah rasa kerana bayi kecil tidak boleh mengambil gula atau garam.

Seronok juga Jauna, sesekali bubur nestum bertukar bubur nasi bercampur sayuran dan daging segar. Dan itu juga sebaik-baiknya untuk anak kecil berbanding makanan daripada pek segera.

Tapi, setahu penulis, ada juga ibu yang tidak menyuap bayinya makanan lain selain bubur nasi dan susu walau selepas anaknya berusia hampir setahun. Kata ibu penulis, tubuh anak yang tidak disuap makanan pejal berbeza berbanding anak kecil lain di mana mereka akan kelihatan lembik.

INFO: Carta pemakanan si kecil

  • Enam bulan
    Tekstur makanan : halus
    Minuman: susu
    Makanan: Beras, pisang, ubi kentang, keledek, bayam, lobak merah dan mangga
    Elakkan: Garam, gula, produk tenusu, makanan berasaskan gandum, telur, cili dan kekacang

  • Tujuh bulan
    Tekstur makanan: Halus tapi sedikit kasar berbanding pada usia enam bulan
    Minuman: Susu, air masak atau jus buah-buahan segar yang dicairkan (1 nisbah 5)
    Makanan: Buah, sayur, gandum, telur kuning dan mentega kacang
    Elakkan: Susu lembu segar, cili, garam, gula, telur putih, ikan dalam tin dan organ dalaman haiwan

  • Lapan hingga 12 bulan
    Tekstur makanan : lenyek/kisar/cincang
    Minuman: Susu ibu, air masak atau jus buah-buahan segar yang dicairkan (1 nisbah 5)
    Makanan: Buah, sayur, ikan, daging, produk tenusu dan telur kuning
    Elakkan: Telur putih, cili, kerang-kerangan, gula, organ dalaman dan lemak

  • 12 hingga 18 bulan
    Tekstur makanan : cincang
    Minuman: Susu, air masak atau jus buah-buahan segar yang dicairkan (1 nisbah 5)
    Makanan: Sama seperti keperluan ahli keluarga yang lain
    Perlu dielakkan: Telur mentah, cili dan kerang-kerangan.


  • No comments: